Sunday 13 June 2021

Perbandingan Sheikh Ibnu Taimiyah dan Muhammad bin Abdul Wahab

Credit : Ghazali media

Bermulanya istilah Wahabi itu dinisbatkan kepada Muhammad ibn Abdul Wahab pendiri gerakan tersebut di Arab Saudi. Perkataan Wahabi ini digunapakai oleh jemaah gerakan itu sendiri. Dan juga abang kepada Muhammad ibn Abdul Wahab yang mengkritik gerakan tersebut turut menamakannya sebagai Wahabi.

Muhammad ibnu Abdul Wahab ini sangat terpengaruh setelah beliau membaca sendiri kitab-kitab Sheikh Ibnu Taimiyah. Maka secara logiknya apabila beliau terkesan dengan fahaman Sheikh tersebut sudah tentu banyak fahaman agamanya yang bersamaan. 

Tetapi pada hakikatnya Muhammad ibn Abdul Wahab ini ada berbeza dan lebih ekstrem daripada Sheikh Ibnu Taimiyah. Jika ulama-ulama Islam yang lain berpendapat pandangan Sheikh Ibnu Taimiyah ada banyak yang syaz atau pelik/janggal maka fahaman Muhammad ibn Abdul Wahab ini lagilah tersangat pelik dan janggalnya.

******
Muhammad ibnu Abdul Wahab
Pelopor ajaran Wahabi

Sehingga ada pandangan beliau inilah yang dikatakan sebagai fitnah Najad seperti mana yang dikhabarkan melalui hadis Nabi SAW. Ini kerana Muhammad ibn Abdul Wabab ini muncul dari Najad.

Maka terdapat perbezaan di antara Sheikh Ibnu Taimiyah dan Muhammad ibn Abdul Wahab ini. Kalangan gerakan Wahabi meletakkan Muhammad ibn Abdul Wahab ini sebagai ulama besar dan ada yang mengkategorikan beliau sebagai mujaddid. 

Mujaddid adalah satu kategori mujtahid tahap tertinggi yang dikhabarkan oleh hadis hanya ditakdirkan untuk beberapa orang sahaja dalam satu tempoh zaman. Mujtahid pula adalah seorang yang mempunyai kemampuan akal dan taraf ilmunya untuk memberikan fatwa atau pandangan dalam agama. (Melakukan ijtihad)

***

Bagi Al-Marhum Sheikh Dr Said Ramadan Al-Buthi, beliau menyebut Sheikh Ibnu Taimiyah dan diikuti dengan gelaran Rahimahullah sebagai penghormatan. Ini kerana beliau berpandangan walaupun Sheikh Ibnu Taimiyah ada pandangan yang syaz, pelik, janggal dan ditolak tetapi beliau seorang yang berilmu (ulama) dan telah mencapai taraf mujtahid. 

Pandangan Sheikh Ramadan ini mungkin berbeza dengan pendapat penyokong Sheikh Ibnu Taimiyah yang mengatakannya tidak terikat dengan mana-mana mazhab. Mungkin sahaja walaupun perkataan seseorang itu menyatakan dirinya tidak terikat dengan mana-mana mazhab tetapi kajian ilimiah mendapati pendekatan beliau masih lagi termasuk dalam lingkungan mazhab Hanbali.

Bagi Muhammad ibnu Abdul Wahab pula, Sheikh Ramadan mengkategorikan beliau sebagai bermazhab Hanbali. Tetapi beliau banyak berbeza dan mengambil pendapat yang menyalahi mazhab Hanbali itu sendiri. Sheikh berpandangan Muhammad ibnu Abdul Wahab itu sebenarnya tidak kompeten atau tidak sampai tahap mujtahid di dalam mazhab Hanbali.

Muhammad ibn Abdul Wahab membawa syaz yang banyak bertentangan dengan mazhab Hanbali  sehingga kebatilannya nampak dengan jelas. Sheikh menyatakan kamu pun sudah tahu apa syaz dibawa oleh Wahabi ini dan menyebutkan beberapa contoh.

Di sini kita menyatakan secara umum dan tidak membincangkan secara terperinci berkenaan syaz atau kepelikan yang dibawa oleh individu ini. Sekiranya hendak tahu bolehlah buat kajian berkenaan perkara itu.

Kesimpulannya Sheikh Ibnu Taimiyah masih dikategorikan sebagai ulama mujtahid manakala Muhammad ibn Abdul Wahab itu tidak sampai ke tahap orang yang boleh mengeluarkan ijtihad.


Wallahua’lam


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...