Saturday 28 May 2016

Misteri Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumilah


Misteri Puteri Gunung Ledang

Pada asalnya hati saya tertanya-tanya mengapa keturunan Raden ini memilih untuk tinggal dan seolah-olah menjaga Gunung Ledang itu. Kenalan saya yang dahulu pernah mempunyai tali hubungan dengan mereka dari salur-galur persilatan juga tidak dapat menjawab jika saya menanyakan hal ini. Saya pun merasa hairan. Tidakkah mereka mempunyai rasa tertanya-tanya akan soal ini. 

Saya mempunyai persoalan yang sering menghantui saya. Keturunan Raden itu jelas sudah ia datang dari Tanah Jawa. Mereka ini sangat mahir mengenai ilmu persilatan dan malah ilmu peperangan zaman dahulu. Dikhabarkan juga banyak persatuan silat di Tanah Melayu ini bernaung di bawah mereka. Ternyata mereka ini mempunyai khazanah ilmu persilatan malah ilmu kebatinan yang bukan calang-calangnya dan saya kirakan menjadi pusat ilmu bagi kumpulan-kumpulan silat tertentu. Sudah tentu ada satu penjelasan berkenaan perkara ini.

Apabila berkata mengenai Puteri Gunung Ledang, kebanyakan antara kita memahaminya sebagaimana cerita yang didengar dari mulut ke mulut dari zaman dahulu-kala. Sehingga sekarang kita masih dapat mendengar kisah-kisah misteri dan mistik berkenaan puteri ini. 

Ketika filem Puteri Gunung Ledang dihasilkan, nama Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumilah pun muncullah. Kononnya beliau itu seorang puteri dari Kerajaan Jawa yang melarikan diri apabila kerajaan Majapahit ketika itu mulai jatuh akibat diserang kerajaan Demak.

Apa yang saya faham dari penceritaan filem ini, puteri jawa berkenaan adalah beragama Budha atau Hindu, sebagaimana kerajaan Majapahit adalah asalnya diperintah oleh kepala pemerintahnya beragama Budha-Hindu  sejak turun-temurun. Namun bagi saya yang merasakan aneh kerana perkataan Dumilah yang dikatakan menjadi sebahagian dari nama Puteri Jawa berkenaan. Dumilah itu mengingatkan kepada perkataan Jamilah.

Atau itu hanya prasangka semata-mata.

Rasa tertanya-tanya ini membuatkan saya seringkali bertanyakan kepada orang berkenaan dengan hal ini. Sehingga pada suatu ketika, saya berkesempatan untuk pergi ke Segamat, Johor dan saya pun bertanyakan kepada seseorang yang saya fikir sudah tentu mengetahui tentang perkara ini. Anehnya dia seolah-olah seperti tidak pernah mengetahui apa pun berkenaan keturunan Raden di Gunung Ledang itu. 

Oleh kerana tidak banyak perkhabaran yang saya perolehi mengenai hal ini, saya hanya dapat mengamati atas tanda-tanda atau alamat yang sudah sedia ada. Saya mula mengamati amalan persilatan dan kebatinan yang diamalkan oleh sebahagian kumpulan yang mewarisi persilatan dan ilmu perang dari aliran Raden itu.

Ternyata ilmu persilatan dan kebatinan itu dikatanya berasal dari susur galur Wali-wali Songo dari Tanah Jawa. Menurut pengamatan saya ia berkemungkinan begitu atas beberapa alamat dan tanda cuma saya tidaklah mahu membukanya dalam penulisan ini. Saya telah sampai kepada kesimpulan ini kerana saya pernah bertanyakan secara peribadi kepada seorang yang mengamalkan aliran kebatinan dari jalan ini.

Maka apa kaitannya Raden-raden dari Tanah Jawa ini dengan kerajaan Melaka di Tanah Melayu pada ketika dahulu?

Kerana pada fahaman saya, kerajaan Majapahit asal iaitu dari Budha-Hindu agak berseteru dengan kerajaan Islam Melaka atau mana-mana kerajaan Islam melayu pada zaman itu. Kecualilah kerajaan Demak yang diasaskan oleh Wali-wali Songo itu. Saya juga cuba membuat kajian sedikit dari sumber asal internet dan mendapati bermacam-macam cerita mengenai perkara ini. 

Ada yang mendakwa pemerintah akhir Majapahit itu sudah pun memeluk Islam cuma sahaja pemerintah itu tidak mahu menzahirkan pengIslamannya ketika itu. Ada yang mendakwa Sunan dari Demak yang menyerang kerajaan Majapahit terakhir itu adalah anaknya sendiri.

Melaka pada ketika itu adalah zaman kemuncak kegemilangan kerajaan Islam-melayu. Di situ juga tamadun orang melayu berkembang selari dengan perkembangan ekonomi dan pendidikan. Dikatakan pada ketika itu, Pulau Besar di Melaka menjadi pusat perkembangan ilmu yang mana ulama-ulama Islam dari seluruh dunia mengajar dan membuka sekolah di pulau itu. Umat Islam satu nusantara pula merantau dari kampung halaman mereka untuk mengambil peluang belajar dari ulama-ulama terbilang ini. 

Sehingga kini kita dapat melihat banyak makam-makam ulama berkenaan di Pulau Besar sebagai bukti kehadiran mereka pada suatu ketika dahulu.

Secara logisnya, apabila Raden-raden ini mula bermastautin di Gunung Ledang, sudah tentu ia mendapat kebenaran daripada pihak pemerintah pada zaman itu. Jika ia mendapat kebenaran seperti demikian, pada pandangan saya sudah tentu ada persamaan dari segi pandangan politik di sisi pemerintah dan kumpulan raden-raden yang berhijrah dari Tanah Jawa itu. 

Jika Puteri Gunung Ledang itu beraliran Budha-Hindu sudah tentu aliran yang dibawa oleh pengikut-pengikutnya dan kumpulan yang mengikutinya adalah juga beraliran Budha-Hindu. Tetapi raden-raden yang masih lagi keturunannya ada di zaman ini tidak mewarisi aliran sebegitu. Sebaliknya mereka mewarisi ilmu yang dikaitkan dengan aliran Wali Songo. Seperti yang saya tulis sebelum ini. 

Apabila telah lama saya mengkaji akhirnya saya telah mendapat satu cerita dari seseorang. Saya tidaklah mahu mengatakan ia adalah satu cerita yang telah disahkan tetapi ia adalah menarik dan seolah-olah cocok dengan tanda-tanda dan alamat yang sudah saya temui. Mungkin sahaja kajian yang lebih mendalam oleh para sarjana diperlukan dalam hal ini.

Dikatakan Gusti Putri itu asalnya adalah anak kepada Sultan Demak/ Jawa setelah kerajaan Majapahit itu tumbang. Maknanya Gusti Putri adalah beragama Islam. Gusti Putri itu datang dengan rombongannya untuk mendalami agama Islam di Pulau Besar, Melaka. Ketika itu terdapat ulama-ulama yang ulung sedang mengajar di Pulau Besar. Dikatakan Sultan Melaka juga belajar di Pulau Besar itu dan pada masa yang sama tertarik dengan kecantikan Gusti Putri dan ingin melamarnya.

Oleh kerana Gusti Putri menolak beliau telah dihantar oleh ulama-ulama di Pulau Besar itu ke Gunung Ledang yang mana ada satu tempat bagi menyembunyikan puteri tersebut dari diganggu oleh pihak Sultan Melaka. Dikatakan di Gunung Ledang terdapat satu tempat latihan pahlawan-pahlawan yang mana Hang Tuah dan rakan-rakannya berlatih pada satu ketika dahulu. Di situ khabarnya Sang Puteri sempat berguru ilmu perang dengan Datuk Laksamana Hang Tuah. 

Pada fikiran saya, jika ini adalah benar maka itulah penjelasan yang terbaik mengapa raden-raden itu berada di Tanah Melayu khususnya di Gunung Ledang atau sekitarnya. Ada antara mereka itu menjadi rujukan Raja-raja Melayu (malah Sultan Brunei) sehingga ke hari ini.

_(TaMMaT)_


Keywords
Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumilah
Siapa Puteri / Putri Gunung Ledang
Gusti / Sang Puteri
Hang Tuah 
Gunung Ledang / Mount Ophir
Pulau Besar
Kerajaan Melaka Demak Majapahit
Sunan Wali Songo

6 comments:

  1. Boleh saya bhbng dgn penulis?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Admin Incikposmen1 July 2018 at 03:51

      Siapalah yang menulis tu ye. Walaumacamanapun boleh email kami di Incikposmen@gmail.com untuk sebarang pertanyaan. Terima kasih.

      Delete
  2. merepek lah.. Gusti Putri Ayu Dumilah tu beragama Hindu lah.. bukan islam, main klaim je.. dia puteri dari Majapahit. adik kepada Gusti Adipati Handaya Ningrat..dia datang ke Gunung Ledang bukan nak sebar agama etc tetapi sebab Sultan Melaka berniat nak memperisterikan beliau tetapi beliau menolak kerana hatinya terikat pada Hang Tuah

    ReplyDelete
  3. Sila hubungi admin Facebook kekerabatan keluarga besar mangkunegara solo, untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai silsilah raja raja Jawa dan apakah anda berhak untuk menggunakan gelar raden..
    Untuk pengetahuan awam keraton Surakarta, Yogyakarta, mangkunegara dan paku alam adalah pewaris Dinasti kerajaan Mataram islam dan Majapahit.. Mereka mempunyai updated silsilah garis keturunan yg tersimpan dalam keraton mereka masing-masing..

    ReplyDelete
  4. sebenarnya puteri gunung ledang adalah mitos. cerita penglipulara. iaitu cerita rakyat dari satu zaman ke zaman lain. agama gusti putri tu bukan isu, kalau masyarakat zaman hindu, maka hindu la beliau, sesampai ke zaman masyarakat islam, maka menjadi la islam beliau.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...