Saya tertarik untuk memberikan pandangan setelah membaca satu artikel yang memberikan cadangan yang sama. Terima kasih kepada pengarang artikel ini kerana memberikan satu motivasi kepada saya untuk memberikan pandangan saya sendiri.
Artikel berkenaan bolehlah dibaca di sini.
Cerita untuk mengkaji semula SOP banjir ini, sebagaimana maklum bukanlah cerita baru. Kerana ianya telah dibincang di dada akhbar dan juga segala media massa termasuklah secara online berkenaan perlunya negara mengkaji SOP pengurusan bencana yang baru sebaiknya berlaku banjir yang melanda Kelantan, Pahang dan Terengganu sebelum banjir dalam bulan Disember 2014 ini.
Banjir adalah termasuk dalam kategori BENCANA atau dalam bahasa Inggerisnya DISASTER. Perkataan lain adalah malapetaka ataupun musibah. Satu lagi perkataan yang sama erti dengan DISASTER ialah CALAMITY. Apa yang hendak disampaikan di sini ialah BANJIR adalah satu BENCANA yang merangkap satu ANCAMAN kepada ORANG AWAM dan HARTA BENDA mereka.
Banjir = Ancaman kepada;
1) Orang Awam (Civilian Population)
2) Harta benda
Oleh itu pengurusan banjir adalah menguruskan ancaman tersebut. Banjir belaku disebabkan hujan. Disini hujan itu menjadi ancaman disebabkan ianya turun dalam keadaan diluar jangkaan seperti hujan yang amat lebat dan berlaku tanpa henti berhari-hari.
Selain faktor hujan, keadaan muka bumi turut menjadi faktor yang menyumbang kepada banjir seperti;
- Sistem perairan yang tidak berkesan.
- Keadaan muka bumi yang amat rendah.
- Berdekatan dengan sungai yang melimpahkan air berlebihan.
- Keadaan bukit-bukau yang ditarah akibat aktiviti pembangunan atau pembalakan.
Melihat kepada faktor hujan dan faktor-faktor lain yang dijadikan contoh ini sahaja kita sudah dapat membayangkan pengurusan bencana banjir ini tentulah memerlukan kepada satu koordinasi pengurusan banjir yang melibatkan banyak pihak. Disini sahaja kita dapat melihat adanya satu pihak yang dapat mensifatkan gejala turunnya hujan secara mendadak. Pihak ini mungkin dapat membuat jangkaan dan tempoh hujan tersebut. Ini dilakukan oleh Jabatan Meterologi dan Jabatan Alam Sekitar.
Namun demikian Jabatan ini bukanlah yang dipertanggungjawabkan untuk pengurusan bencana. Disini timbul satu isu berkenaan keberkesanan Sistem Amaran.
SISTEM AMARAN dan tindakan susulan.
Apakah sistem amaran yang digunakan? Adalah memadai sekiranya amaran hanya disebarkan melalui televisyen, radio atau laman web. Atau pun amaran perlulah disusuli secara fizikal dengan menggerakkan isi rumah yang dijangka terlibat menjadi mangsa banjir. Ini seharusnya dilakukan oleh pasukan penyelamat daripada agensi-agensi kerajaan dan bukannya Jabatan Meterologi dan Jabatan Alam Sekitar. Dilihat satu hubungan kerjasama adalah perlu disini.
Isu timbul apabila terdapat isi rumah yang tidak mahu bergerak kerana beranggapan atau berharap hujan yang lebat atau bah yang melanda akan berhenti juga.
Apabila satu tempat atau pun sesuatu negeri dilihat mempunyai pattern dilanda banjir pada setiap tahun, tentulah ianya telah menjadi satu jangkaan yang mudah bagi pengurusan banjir dari segi persiapan.
Apakah PERSIAPAN?
- SOP Prosedur adalah bagaimana melaksanakan atau mengkoordinasikan operasi menyelamat.
- Agensi penyelamat yang berkemampuan dengan segala kelengkapan dan aset yang diperlukan.
- Infrastruktur berkaitan - Contoh isu dalam banjir Disember 2014, Heli pad kat mana? Heli pad kat mana?
Siapakah yang perlu bersiap?
- Agensi Penyelamat.
- Orang Awam.
Kalau Orang Awam perlu bersiap-siaga, siapakah yang melatih mereka?
- Civil Defence (Pertahanan Awam)
- Agensi-agensi NGO lain.
Oleh itu, orang awam juga seharusnya dilatih dan dilibatkan dalam SOP pengurusan banjir ini. (Sekiranya ada yang dilatih maka mereka bolehlah menjadi sukarelawan atau petugas yang dilibatkan dalam Operasi menyelamat, contohnya menggerakkan evakuasi orang-orang kampung ke tempat perlindungan (shelter).
ISU UTAMA
Undang-undang Malaysia, sebagaimana di dalam Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan Keselamatan sebagai bidang utama pihak Polis dan Pertahanan sebagai bidang utama pihak tentera. Adakah satu agensi pula yang ditakrifkan dalam undang-undang negara sebagai pelaksana kepada pengurusan bencana?
Ada atau tidak? Tidak? Tidak pasti?
Agensi Pelaksana tersebut? Katakanlah kita juga tidak pasti ada atau tiada. Disini digariskan cadangan yang ideal untuk pengwujudan agensi berkenaan.
SIFAT-SIFAT AGENSI PENYELAMAT YANG IDEAL (antara yang penting)
- Mempunyai peruntukan undang-undang yang jelas untuk memiliki satu konsep pengurusan bencana yang komprehensif. Ini penting, kerana sekiranya satu agensi itu tidak mempunyai satu peruntukan perundangan yang jelas untuk sesuatu fungsi ia tidak akan dapat berfungsi dengan berkesan walaupun mempunyai banyak aset. Ini kerana perlaksanaannya akan dipertikaikan kerana tidak mempunyai kuasa.
- Mempunyai kemampuan dari segi kemahiran, aset, jumlah anggota dan pejabat operasi meliputi seluruh Malaysia. Sekiranya ada memiliki peruntukan undang-udang tetapi tidak dibekalkan dengan aset atau tidak mendapat latihan dan pengetahuan yang sepatutnya juga tiada gunanya.
- Mempunyai kemampuan dan kuasa untuk bertindak sebelum bencana, semasa bencana dan selepas bencana. Bukan reaktif semasa bencana sahaja. Ini kerana sebelum berlakunya bencana, adanya keperluan untuk membina infrastruktur yang dapat menyokong operasi menyelamat atau mengurangkan impak bencana. Contohnya, Heli Pad, Shelter termasuklah escape route, benteng sungai, terowong smart dll.
Infrastruktur : Dibina sebelum bencana. |
Adakah Malaysia mempunyai agensi penyelamat seperti ini? Sekiranya di Singapura, mereka ada Singapore Civil Defence Force. Di Perancis ada Civil Protection.
Sekiranya ada, adakah mereka mempunyai peruntukan undang-undang yang jelas?
Atau adakah mereka mempunyai kemampuan yang sepatutnya?
ISU OPERASI BANJIR DI KELANTAN dan PAHANG
- Bot-bot penyelamat yang tidak mencukupi.
- Bot penyelamat ada tetapi tidak sesuai untuk keadaan banjir yang teruk.
- Arus banjir yang deras dan membahayakan. Ada benda-benda yang hanyut seperti balak membahayakan lagi keadaan. Paling kurang satu lori tentera telah tersangkut kerana di hentam oleh kayu balak, menyebabkan bantuan tidak dapat sampai.
- Helikopter tak dapat mendarat menyelamatkan orang terperangkap dan menghantar bantuan makanan. Perlu binaan yang menyokong pendaratan helikopter. (Dalam artikel pada link di atas ada cadangan tersebut)
- Tiada shelter yang dibina khusus di tempat tinggi walaupun Kelantan telah berkurun lama menghadapi banjir. Perlunya binaan untuk tindakan yang proaktif.
- Pengurusan jalan-raya yang boleh diperbaiki lagi. Mengelakkan kesesakan jalan raya yang menyukarkan lagi operasi bantuan.
- Kesukaran untuk mendapatkan bahan makanan, perubatan, pakaian dan lain-lain bantuan.
Pergantungan dengan Tentera. Maksudnya terlalu.
Walaupun mereka lasak dan berkemampuan tinggi, mereka tidak dilahirkan untuk menguruskan bencana. Itu bukan tugas utama mereka. Sebagaimana yang dinyatakan di atas, perlunya satu agensi yang dedikasi untuk menguruskan bencana. Macam Singapore Civil Defence atau satu konsep yang serupa itu.
Agensi ini juga seharusnya mempunyai kemampuan dan bidang tugas untuk melatih orang awam. Orang awam pula dapat dilibatkan secara berkesan sekiranya ada satu bentuk penglibatan yang lebih bermakna dan berkesan dapat diwujudkan. Ini mungkin dalam bentuk sukarelawan. Sukarelawan beruniform. Ianya berbeza dengan sukarelawan biasa contohnya daripada NGO atau pun pelajar-pelajar universiti yang menawarkan diri secara ad hoc.
Sukarelawan beruniform dilatih secara bersistematik dan berkala. Hasilnya, mereka mempunyai pengetahuan mengenai operasi pengurusan bencana dan berkemampuan menggerakkannya. Mereka ini boleh terdiri daripada orang-orang kampung, pelajar-pelajar sekolah, guru-guru dan lebih menarik lagi kalau adanya ahli JKKK yang menjadi sukarelawan berunifom ini.
Ini kerana ahli JKKK sesebuah kampung sudah tentu mempunyai pengetahuan terperinci mengenai kampung tersebut, orang-orang kampung dan penempatan mereka dan bentuk muka bumi. Ini memberikan kelebihan dan sangat membantu seseorang petugas bagi melaksanakan operasi evakuasi/pemindahan.
Kesimpulannya, kalau polis berdedikasi untuk keselamatan dan ketenteraman, tentera pula untuk pertahanan negara maka tentulah adanya suatu agensi pula yang berdedikasi untuk pengurusan bencana.
No comments:
Post a Comment