Kita biasa mendengar mengenai kekejaman komunis pada masa lampau. Tetapi mungkin tertanya-tanya itu sudah pun menjadi sejarah, dan komunis khususnya di China sekarang sudah pun berubah. Malah banyak negara termasuklah Malaysia sendiri mempunyai hubungan dagangan dengan negara China.
Pada hari ini kita mendengar pelbagai berita dari sosial media berkenaan penindasan terhadap etnik Uighur. Berbagai perlakuan terhadap etnik ini oleh Parti Komunis di China atas alasan menentang terrorism. Antara yang tersebar ialah mereka ini ditahan beramai-ramai di kem-kem tahanan, disiksa, dirogol, dibunuh, dipotong anggota tubuh dan ramai yang hilang begitu sahaja.
Hakikatnya etnik Uighur telah ditindas dan dinafikan hak-hak asasi manusia samada hak untuk nyawa, hak bersuara, kebebasan bergerak, hak untuk mengamalkan ajaran agama dan banyak lagi.
Sekiranya hak-hak seperti ini ditindas dan dicabuli oleh kerajaan Malaysia sedikit pun, sudah tentu rakyat berasa marah dan Malaysia sendiri akan dikecam oleh masyarakat antarabangsa.
Tindakan oleh kerajaan komunis China ini menunjukkan warna sebenar mereka walaupun dari sisi lain mereka menunjukkan wajah persahabatan melalui jalinan kerjasama ekonomi dan sebagainya.
Kesungguhan China untuk menguasai peta Laut China Selatan dengan menafikan kedaulatan dan pemilikan kawasan laut negara-negara lain termasuklah Malaysia serta dengan tidak mengendahkan undang-undang antarabangsa yang terpakai memperlihatkan kehendak politik komunisme yang diamalkannya.
Sekiranya negara-negara lain yang berdaulat pun boleh dipandang enteng apatah lagi mereka yang sememangnya sudah berada dalam genggaman kekuasaan kerajaan komunis ini.
Berikut adalah kes-kes yang berlaku menunjukkan sifat diktator dan kekejaman itu.
Isteri seorang Uighur warga Turki ditahan di Kem Tahanan di Xinjiang dan anak-anaknya ghaib yang kemudiannya dilihat berada di Pusat anak-anak yatim.
Abdurahman merasakan kehidupannya sudah musnah. Demi anak -anak dan isterinya, beliau sekarang sanggup menerima apa sahaja yang mendatang. |
Abdurahman Tohti adalah seorang Uighur yang tinggal di Turki. Beliau telah mengahwini seorang wanita Uighur bernama Peride Yasin di Istanbul dan kemudiannya mereka dianugerahkan dua orang cahaya mata. Seorang anak lelaki bernama Abdulaziz dan anak perempuan bernama Nadire.
Dalam tahun 2016, isteri dan anak-anaknya melawat saudara mereka di Xinjiang. Tetapi isterinya tidak menghubungi beliau setelah mendarat di Xinjiang dan secara misteri mengeluarkan namanya dari WeChat.
Abdurahman mendengar yang isterinya telah ditahan sebaik sahaja tiba di airport. Beliau tidak pernah dimaklumkan secara rasmi apa yang berlaku kepada isteri dan anak-anaknya. Beliau tidak tahu kenapa isterinya ditahan dan dimana anak-anaknya dibawa ketika itu.
Etnik Uyghur di China dikatakan akan dihukum sekiranya membuat komunikasi atau hubungan dengan luar negara.
2 tahun selepas itu, Abdurrahman menjumpai satu video yang disebarkan di platform media massa oleh propaganda China. Video tersebut menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki 4 tahun bernama Abdulaziz menjawab pertanyaan seorang lelaki. Beliau kenali itu sebagai anaknya.
Lelaki dewasa : Siapakah nama anda?
Abdulaziz : Saya dipanggil Abdulaziz.
Lelaki dewasa : Berapa umur?
Abdulaziz : Saya berumur 4 tahun.
Lelaki dewasa : Apakah nama tanah air anda?
Abdulaziz : Republik Rakyat China.
Lelaki dewasa : Apa yang ada pada bendera tanah air?
Abdulaziz : Lima bintang atas bendera yang merah.
Lelaki dewasa : Dimana botol air anda?
Abdulaziz : Botol air ada di sini.
Lelaki dewasa : Apa permainan yang anda ada di rumah?
Abdulaziz : (Suara tidak jelas).
Lelaki dewasa : Dimana kita meletakkan makanan yang tak habis?
Abdulaziz : Dalam tong sampah.
Difahami Abdulaziz diletakkan di sebuah rumah anak yatim. Pertanyaan dan jawapan dilakukan dengan cergas dan pantas seakan-akan telah menjalani satu rejim latihan. Mungkin sekiranya Abdurahman sendiri mendidik anaknya tidak akan jadi seperti itu.
Sehingga kini nasib adik perempuannya Nadire tidak diketahui.
Seorang bapa melihat anaknya di video propaganda China dan tidak menyangka anaknya menjadi seperti itu. |
Petugas-petugas kerajaan tidur sekali dengan isteri tahanan Uighur.
Media antarabangsa mendakwa kerajaan China melakukan "pemerkosaan" secara sistematik terhadap wanita-wanita Uighur yang mana suami-suami mereka ditahan di Kem Tahanan. Maksud "pemerkosaan" ini ialah mereka menghantar petugas-petugas lelaki Han untuk tinggal serumah dengan wanita-wanita yang terpaksa ditinggalkan suami ini.
Petugas-petugas ini dinamakan sebagai "saudara" padahal mereka ini tidak ada pun hubungan darah dengan wanita-wanita berkenaan. Petugas-petugas dijadualkan menziarahi rumah wanita-wanita yang dalam senarai, setiap dua bulan dan makan serta bekerja bersama mereka.
Seorang kakitangan kerajaan di Xinjiang memberitahu seorang wartawan antarabangsa yang petugas ini akan berbincang dengan wanita berkenaan mengenai ideologi dan membantunya untuk idea-idea baru.
"Mereka berbincang mengenai kehidupan dan ketika itu mereka pun menaruh perasaan antara satu sama lain" kakitangan itu menambah.
"Biasanya seorang atau dua orang tidur berasingan katil. Tetapi apabila musim sejuk, tiga orang tidur bersama dalam satu katil."
"Tetapi sekarang sudah diterima sebagai biasa sahaja kalau wanita itu tidur sekali dengan "saudara" mereka itu"
Perkara ini disahkan lagi oleh pihak berkuasa tempatan di daerah Yengisar apabila ditanya wartawan antarabangsa. Namun mereka mendakwa pada waktu malam, petugas lelaki akan tidur berasingan dengan wanita di rumah yang ditugaskan.
Pihak berkuasa tempatan juga berkata Petugas lelaki itu tidak pernah mengambil kesempatan ke atas wanita berkenaan dan sebenarnya keluarga itu sangat mengalu-alukan kedatangan Petugas lelaki ke dalam rumah mereka.
Itulah yang berlaku sekiranya mereka mendapat kuasa dan ingin mengekalkan kuasa. Pelbagai cara dan kaedah yang melanggar hak asasi manusia akan digunakan. Sekiranya ada kuasa yang besar seperti kuasa ekonomi, teknologi dan ketenteraan, mereka akan gunakan secara maksimum untuk kepentingan politik komunis tidak kiralah apa jua kosnya.
Matlamat menghalalkan cara.
Petugas di bawah pemerintahan komunis pun tak tahan
Wang Liqiang |
Dalam setahun ini, dunia dikejutkan dengan pendedahan berani seorang lelaki bernama Wang Liqiang di Australia yang mendakwa dirinya adalah perisik China yang telah tidak mahu lagi bersubahat dengan kerajaan komunis China.
Pendedahan yang dibuat Wang Liqiang adalah sangat terperinci yang mana beliau boleh menceritakan operasi yang telah beliau sertai dan juga menamakan orang-orang tertentu yang terlibat. Oleh kerana pendedahan berani tersebut, beliau menghadapi risiko yang tinggi dan terpaksa memohon perlindungan daripada kerajaan Australia.
Kerajaan Australia pula mengambil langkah-langkah drastik bagi menangani apa yang dilihat mereka sebagai percubaan untuk mencampuri dan mengubah hala tuju pemerintahan kerajaan mereka yang berdaulat. Pada akhir 2019, satu task force pada peringkat tinggi telah diadakan bagi tujuan menangani masalah ini.
Antara siasatan yang dijalankan ialah atas cubaan China untuk menaikkan ahli parlimen dalam kerajaan Australia bagi membawa kepentingan China dan itu sudah tentulah membabitkan ideologi komunis.
Dakwaan seperti ini adalah serius dan menakutkan Australia. Sudah tentu jika agen perisik China berjaya menyamar menjadi ahli parlimen dalam kerajaan ia akan memporak perandakan pentadbiran dan akhirnya terdedah kepada pengaruh dan kuasa asing.
Pendedahan Wang Liqiang itu bukan sahaja menyentak Australia tetapi juga Taiwan, kerana beberapa operasi seperti itu juga dikatakan dirancang di negara tersebut.
Kesimpulannya, itulah yang berlaku sekiranya komunis berjaya mendapat kuasa pada hari ini. Negara dan rakyat mereka yang lemah sudah tentu menjadi mangsa kuasa-kuasa besar yang hendak melebarkan kuasa dan pengaruh. Akhirnya rakyat hilang hak-hak asasi walaupun pada mulanya sibuk melaung-laungkan hak-hak asasi berkenaan.
No comments:
Post a Comment