Friday 10 December 2021

Kisah kumpulan dari Wahhabi ingin memusnahkan kubur dan mengorek serta memindahkan jasad Nabi SAW

Secara umumnya orang Islam sudah mengetahui mereka yang memakai fahaman Wahhabiah mempunyai banyak tafsiran yang berbeza terhadap Al-Quran dan Hadis Nabi SAW berbanding majoriti umat Islam yang lain. Di dalam blog ini ada beberapa artikel yang menyentuh perihal unsur Wahabi itu, ini kerana Wahabiah itu adalah salah satu gejala yang berlaku ketika di akhir zaman dan telah datang beberapa fitnah berkaitan dengannya. 

Para pembaca boleh merujuk di sini berkenaan pandangan almarhum Sheikh Said Ramadan Al-Buthi mengenai Muhammad bin Abdul Wahhab yang dikaitkan dengan gerakan Wahhabi.

Dalam tahun 2014, beberapa media massa di United Kingdom terkejut kerana mendapat maklumat bahawa adanya satu kumpulan pakar akademik atau pun boleh kita panggil ulama di Saudi telah membuat kertas kerja sebagai proposal atau cadangan kepada kerajaan Saudi itu sendiri.

Adakah arab Saudi akan mengalihkan jasad Nabi Muhammad SAW? MailOnline

Arab Saudi mengambil risiko perpecahan umat Islam dengan 
cadangan memindahkan jasad Nabi SAW. - Independent

Kertas kerja berjumlah 61 muka surat itu dikatakan telah diedar di kalangan penyelia kawasan suci Madinah. Kerta kerja itu mencadangkan jasad Nabi SAW dikeluarkan dan dikebumikan semula di perkuburan al-Baqi. Seterusnya ia mencadangkan supaya kubur Nabi SAW tidak ditandakan secara khusus agar ia bersifat anonymous.

Ini bermaksud umat Islam tidak akan dapat mengenali mana satu kubur atau maqam yang mengandungi jasad Nabi SAW. Tiada lagi umat Islam yang dapat menziarahi maqam Nabi SAW dengan secara pasti di mana satu kubur baginda Nabi.

Kumpulan Wahabi ini berhujah dengan ini tidak ada lagi jemaah yang datang untuk menyembah dan meminta-minta kepada kubur Nabi SAW.

Namun demikian, setelah media UK menghebahkan berita itu, pihak Saudi telah mengeluarkan kenyataan bahawa kertas cadangan itu hanyalah pandangan dari sekumpulan pakar akademik mereka sahaja dan tidak menjadi pegangan atau dasar kerajaan Saudi.

Hanyalah pandangan akademik semata-mata belum lagi 
diambil sebagai dasar kerajaan.

Kita juga sudah maklum bahawa kumpulan Wahabi seperti ini banyak berbeza pandangan dengan orang Islam yang lain dan sentiasa menyanggah serta mendakwa amalan orang lain sebagai bidaah malah ada yang sampai syirik. Sehingga hari ini pun mereka yang terkesan dengan fahaman sebegini banyak mengganggu ketenteraman orang Islam yang tidak sefahaman dengan mereka. 

Malah ejen-ejen mereka dengan gigih masuk memberikan komen-komen mendakwa orang lain melakukan bidaah atau pun sesat.

Tetapi kenapakah pula sampai mereka tergamak menggali dan memindahkan kubur Nabi SAW? Apa pula hadis yang dipegang sehingga mereka berfahaman sedemikian?

Apabila diselidiki lagi, rupa-rupanya usaha ini telah bermula seawal tahun 1924 lagi. Ini adalah berdasarkan penerangan yang diberikan oleh Ustaz Mohamed Nor di dalam youtube di sini. Dalam tahun 1925, Saudi yang dikuasai oleh gerakan Wahabi telah memusnahkan binaan-binaan kubur dalam kawasan perkuburan Al-Baqi’. Ini kerana mereka berfahaman ada hadis yang melarang membuat pembinaan di atas kuburan.

Oleh yang demikian, binaan-binaan khusus untuk ahlul bait dan para sahabat Nabi SAW telah dimusnahkan dan diratakan dan menjadi anonymous.

Setelah projek meratakan kuburan di al-Baqi’ itu, mereka mula membincangkan tentang status binaan Kubah Hijau di maqam Nabi SAW. Kerana mereka mendakwa itu adalah binaan yang diharamkan.

Kubur Nabi di dalam bangunan dan di atas bangunan itulah terletaknya Kubah Hijau itu.

Ustaz Mohamed Nor juga menyatakan pihak Wahabi berfahaman orang yang menziarahi madinah dengan niat menziarahi maqam Nabi SAW adalah dikategorikan sebagai melakukan maksiat. Oleh demikian, mereka berusaha mengeluarkan jasad Nabi SAW, Abu Bakar dan Umar R.A dan dikebumi kembali di al-Baqi’ bersama yang lain.

Sedangkan Ahlu Sunnah wal Jamaah tidak berpegang dengan pandangan yang melampau seperti itu.

Malah Umar bin Abdul Aziz, khalifah yang dikaitkan sebagai termasuk khulafa’ arrashidin pernah mengirim satu rombongan daripada Syria ke maqam Nabi SAW di Madinah Munawwaroh semata-mata untuk menyampaikan ucapan salam khalifah kepada Nabi SAW dan kemudiannya balik semula.

Perkuburan Baqi’ sebelum diratakan

Selepas berlakunya muzakarah ulama Wahabi dalam tahun 1925, kertas kerja pun diangkat untuk kelulusan Raja Arab Saudi. Tetapi Raja Saudi menjadi ragu-ragu dan khuatir tentang cadangan dan langkah yang dicadangkan itu. Akhirnya Raja memerintahkan supaya muzakarah diadakan bagi membincangkan urusan itu dengan ulama-ulama hadis dari luar Arab Saudi.

Raja meminta fahaman dan tafsiran hadis-hadis berkaitan dibincangkan dengan ulama Islam yang lain, barulah Raja akan memutuskan perkara itu sesudah mengambil pandangan mereka.

Satu jemaah dari kalangan ulama Saudi tadi telah dibentuk dan telah dihantar ke Darul Uloom, Deoband, India. Dikatakan Tuan Guru Nik Abdul Nik Mat sendiri pernah belajar dengan ulama Deoband ketika itu iaitu Maulana Husin Ahmad Madani.

Ketika itu Darul Uloom mempunyai kira-kira 500 ulama hadis. Dua ulama hadis yang masyhur ketika itu ialah Maulana Husain Ahmad Madani dan Maulana Ashraf Ali Thanwi. Maulana Husain Ahmad Madani telah membuat perkumpulan 500 ulama hadis bagi membincangkan perkara itu.

Wakil Saudi pun berbincang berkenaan hadis binaan atas kubur yang dipegang oleh mereka. Diringkaskan, Maulana Ashraf Ali Thanwi berhujah bahawa hadis berkenaan sahih tetapi tidak terpakai kepada kubur Nabi SAW. Ini kerana binaan atas kubur Nabi SAW merupakan binaan yang asalnya adalah sebuah bilik yang juga rumah Saidatina Aisyah R.A sebelum menjadi makam/kubur Nabi SAW. 

Ia bukan asalnya kubur, tetapi telah ada binaan sebelum ia menjadi kubur. Hujah yang agak literal seperti itu adalah sesuai untuk diberikan kepada pemikiran Wahabiah yang diketahui mentafsirkan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis dengan pengambilan makna zahir semata-mata.

Maulana Husain juga merupakan salah satu tokoh penting
kemerdekaan Negara India

Hasil dari muzakarah itulah kerajaan Saudi tidak jadi menggunapakai cadangan kertas kerja yang diusahakan kumpulan ulama Wahhabi tersebut. Maka Kubah Hijau dan jasad Nabi SAW bersama dua sahabat baginda masih kekal di tempat asalnya.

Ada juga yang menyatakan percubaan untuk merobohkan Kubah Hijau itu berlaku sejak 1880-an lagi. Kerana pada tahun itu gerakan Wahabi dapat menguasai Madinah buat pertama kali. Tetapi kerajaan Ottoman berjaya menguasai semula dan hasrat mereka gagal.

Dilihat percubaan untuk memindahkan jasad Nabi SAW telah dilakukan berkali-kali oleh gerakan Wahabi tetapi ditakdirkan ia gagal. Sentiasa ada sahaja rintangan terjadi kepada mereka yang cuba mengusik jasad Nabi di dalam makam Kubah Hijau itu.

Umat Islam seharusnya bersikap menghormati jasad Nabi SAW dan tidak berpegang dengan tafsiran melampau yang bersifat biadab dan tidak menghormati pandangan khilaf yang sah dari orang lain.

TammaT

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...