Saturday, 19 March 2016

KES RASUAH


Apabila terbaca tertangkapnya beberapa orang akibat disyaki kes rasuah baru-baru ini yang melibatkan dana ratusan juta ringgit, satu pertanyaan kembali ke benak fikiran saya. Kes-kes rasuah ini kepada saya adalah seumpama kes-kes kemalangan jalan raya. Walaupun ia tersiar hampir setiap hari mengenai kemalangan maut yang berlaku dan disertakan sekali puncanya tetapi keesokannya kemalangan berlaku juga dengan punca yang sama.

Saya terbayangkan mungkinkah orang yang menjadi punca kemalangan keesokannya itu telah pun membaca akhbar semalamnya mengenai kemalangan dan puncanya. Akan tetapi orang itu kemudiannya mengulangi punca kemalangan itu. 

Ini tidaklah menghairankan. Jika tidak percaya pergilah memandu sekarang dan lihat sendiri berapa orang yang sanggup memotong ketika berada di selekoh. Salah satu punca kemalangan yang dilaporkan di akhbar-akhbar iaitu tidak sempat memotong kenderaan dan bertembung dengan kenderaan yang mendatang.
Kes rasuah ini sama juga. Secara psikologinya mereka yang melakukan rasuah ini mungkin berfikiran nasib ditangkap oleh SPRM hanya tertimpa kepada orang lain. Mereka mungkin berfikir jika mereka licik dan berjaga-jaga dalam menerima rasuah besar kemungkinan mereka akan terlepas dan dapat menikmati habuan rasuah tersebut.

Itulah risiko yang mereka tempuh untuk melakukan rasuah itu.

Mungkin juga mereka ini berfikir semua orang sebenarnya terlibat dalam rasuah. Setiap orang mengambil dan menerima rasuah dan menyembunyikan perbuatan mereka. Oleh kerana semua orang main rasuah, hanya mereka yang kurang bijak sahaja yang tertangkap akibat rasuah. Mereka ini kurang pandai menyembunyikan perbuatan rasuah mereka. 

Oleh itu orang-orang yang tidak ditangkap itu bukanlah sebab mereka tidak main rasuah tetapi mereka pandai menyembunyikan perbuatan rasuah itu. Jika psikologi ini telah merebak di kalangan massa maka bakal berlakulah kerosakan yang besar kepada negara. 

Perlulah juga kita elakkan persepsi bahawa menentang rasuah ini hanyalah slogan politik yang dijadikan alat untuk politik semata-mata. Disebabkan ia diperlalatkan dengan mudah sahaja slogan anti-rasuah dipergunakan tetapi tidak diamalkan dengan sepatutnya. Memanglah mudah untuk berkata-kata seperti hendak mencontohi Khalifah Umar Abdul Aziz, tetapi dari segi perbuatannya pula jauh bertentangan dengan Khalifah Islam itu.

Bagi umat Islam pula, kita perlulah tanamkan kepada generasi baru ini bagaimana keji dan buruknya perbuatan rasuah itu. Haramnya rasuah itu hendaklah dirasakan seperti haramnya memakan khinzir atau dikenali juga dengan nama babi. 

Rasuah hanyalah nikmat sementara yang menipu dan duit habuan rasuah hanyalah duit panas api neraka yang tidak akan membahagiakan sesiapa pun. Rasa bahagia atau gembira ketika menerima duit rasuah itu hanyalah persepsi palsu yang mencelakakan.

Bahayanya budaya rasuah perlu disekat dengan segera jika kita mahu anak dan generasi hidup dalam negara yang maju dan makmur.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...