Sunday 31 May 2015

Cerita sains fiksyen : Satu makhluk yang tiada..


tiada makna baginya depan, belakang, kiri, kanan, atas dan bawah?

Ada ka..??

Camana makhluk ni boleh tak ada baginya makna depan, belakang, kiri, kanan, atas dan bawah. Cuba bayangkan. Boleh tak?

Ok.. dia macam ni..



Dia ni bentuk dia bulat. Macam bola. Dia hidup di ruang angkasa lepas. Macam planet-planet dan bintang-bintang. Kan planet-planet dan bintang juga bulat. Cuma dia kecik saja besar bola tu atau yang paling besar lagi macam belon gas.

Dia tak ada organ mata. Dia melihat berdasarkan gelombang yang dilepaskan melalui badannya yang bulat. Macam radarlah juga. So, dia dapat melihat semua penjuru. Tapi bagi dia tak ada penjuru. Kat angkasa lepas mana ada penjuru. Semua terawang-awangan.

Di angkasa lepas bagi makhluk ni tak ada atas bawah. Kiri kanan. Depan Belakang. Fitrah badan makhluk ni yang bulat juga menjadikannya tidak kenal apa itu penjuru-penjuru ini.

Dia bercakap dengan rakan-rakan dan saudara maranya melalui gelombang yang dilepaskan macam gelombang yang digunakan untuk melihat tadi. Sebab dia tak ada organ mulut. Macam telephathylah pula.

Nak jadi ceritanya..

Dia dan sorang member dia ni satu ari tu termasuklah dalam atmosfera bumi…!!

Di situlah pertama kalinya mereka berjumpa dengan makhluk yang menamakan diri mereka sebagai manusia. Untuk satu tempoh berlakulah interaksi di antara makluk-makhluk bulat ini dengan manusia di bumi.

Sehinggalah sampai satu tahap mereka dapat serba sedikit faham pertuturan manusia. Manusia tu juga sedikit sebanyak dapat faham apa yang ditelephathykan oleh kedua-dua makhluk yang berbentuk bulat dalam pandangan mereka tu.

“Hangpa ni bulat..” Kata salah seorang daripada manusia itu. 

“Kami ni ada dua tangan. Satu tangan kiri dan satu lagi tangan kanan. Kalau hang dok di sebelah tangan kiri, kami habaq hang ni di sebelah kiri.” Ujar manusia itu.

“Kalu hang ni dok sebelah tangan kanan, kami habaq hang sebelah kanan” tambahnya.

Baru itulah kedua-dua makhluk berbentuk bulat itu mempelajari apa itu kanan dan kiri. Ini kerana mereka sendiri tidak ada tangan walau satu tangan pun. 

“Kami ada mata. Mata kami pandang depan ja. Mata kami tak buleh pandang ke belakang.”

“Kalau hangpa dok hadap mata dan wajah kami tu namanya hangpa di depan kami. Kalau hangpa dok hadap punggung kami tu maknanya hangpa di belakang.”

Baru itulah kedua-dua makhluk bulat ni sedar yang mereka boleh berada pada penjuru depan, belakang, kiri dan kanan sesuatu makhluk lain.

“Hangpa ni dah kira hampir cecah tanah dah. Inilah yang dinamakan permukaan atau platform. Bila hangpa rasa ada permukaan lagu ni, maknanya hangpa bulehlah tau apa itu atas dan bawah. Rendah dan tinggi.”

Kedua-dua makhluk bulat ini mempunyai kepintaran dan dapat memahami konsep baru dengan cepat. Mereka tidak tahu sebelum itu hanyalah sebab mereka tak pernah mengalaminya.

Makhuk bulat dan rakannya itu telah diberikan nama oleh manusia itu. 

“Hang ni aku namakan sebagai Bulat. Nama hang pula Bola.”

Bulat dan Bola pun terus mempelajari ilmu-ilmu yang bagi mereka eksotik daripada manusia-manusia di satu permukaan bumi yang dinamakan Kedah itu.

Kehilangan Bulat dan Bola dirasai oleh makhluk-makhluk sebangsanya yang lain sepanjang mereka mendarat di permukaan bumi. 

Apabila kedua-duanya kembali ke angkasa lepas bersama-sama makhluk-makhluk sebangsanya yang lain, Bulat dan Bola mempunyai satu persepsi yang tidak dimiliki oleh yang lainnya. 

Oleh kerana makhluk ini masing-masing mempunyai kepintaran yang tinggi mereka tidaklah menolak penerangan yang diberikan oleh Bulat dan Bola malah mereka menerimanya sebagai satu persepsi ilmu yang eksotik. Walaupun tidak semua dapat memahaminya kerana sebahagian mereka perlu mengalami sendiri apa yang dialami oleh Bulat dan Bola.

Oleh kerana Bulat dan Bola memiliki ilmu yang eksotik itu, kedua-duanya telah menjadi popular di kalangan makhluk bangsanya.  

Sehinggalah satu ketika, mereka merasakan kehilangan salah satu rakan bangsa mereka untuk tempoh yang agak lama. Tidak lama kemudian rakan mereka itu kembali dan mendakwa dia juga telah mempelajari ilmu eksotik daripada manusia di muka bumi.

Bagi menguji dakwaan itu Bulat dan Bola pun menggunakan bahasa manusia untuk berkomunikasi dengan rakan yang baru kembali itu.

“Kalau betoi hang dah belajaq dari manusia, cuba hang habaq sapa kat belakang hang” duga Bulat terhadap rakannya itu. Pada ketika itu Bola dan Bulat dalam kedudukan selari dengan rakannya itu berada di tengah.”

“Dio tu bukan belakang den, dio tu kek dopan den” jawab rakannya itu.

Bulat dan Bola agak sedikit terkejut mendengar kelainan dari segi bahasa manusia yang dituturkan oleh rakannya itu. 

Walaupun tidak pernah mendengar jenis perkataan berbeza yang baru dilontarkan secara gelombang oleh rakannya, keupayaan telephaty tahap tinggi yang dimiliki makhluk-makhluk ini mampu menangkap makna-makna yang secara automatik dihantar melalui gelombang tersebut bersama perkataan-perkataan baru itu.

Oleh kerana ketiga-tiganya bukan manusia, maka dakwaan rakannya itu adalah sah. Kerana Bola boleh sahaja dikatakan berada di depan atau belakang rakannya. Sebab rakannya itu masih bulat.

“Kalau lagu tu, cuba hang habaq, aku ni belah ataih hang ka atau bawah hang?” tanya Bulat lagi.

“Duo-duo pun buleh den khobarkan bolah ateh atau bolah bawah pun buleh. Sobab eh, kito bertigo bolum jumpo permukaan laie..” jawab rakan mereka.

Bulat dan Bola pun menganguk-angguk tetapi secara maknawi sahaja sebagai meniru perbuatan mengangguk-angguk manusia ketika menyatakan perkataan ya dan betul.

“Apa nama platform hang masa di bumi?” Bola menjadi tertanya-tanya.

“Noghori” Jawab rakan mereka.

“Kami di Kedah"

“Apo namo ekau berduo ni maso kek situ” rakannya pula bertanya kepada Bulat dan Bola.

“Bulat!” “Bola!” Jawab mereka berdua, yang kemudiannya bertanya kembali kepada rakan mereka mengenai nama yang diberikan manusia ketika di bumi itu.

“Namo den PAS”. Jawab rakannya itu. 

Keupayaan telepathy Bulat dan Bola gagal mengaitkan makna nama rakannya itu dengan apa-apa takrif yang diketahui oleh mereka. Dengan itu kedua-duanya mengesyaki rakan mereka yang dinamakan PAS oleh manusia itu telah mempelajari satu konsep eksotik daripada manusia yang belum mereka berdua pelajari. 

Kesimpulannya bagi mereka, untuk menjadi manusia itu bukanlah mudah, kerana bagi mereka, manusia itu tidaklah sepintar bangsa mereka tetapi manusia dianugerahkan keupayaan untuk memahami pelbagai persepsi. Dari segi itu juga mereka melihat manusia ini mempunyai kelebihan berbanding makhluk lain. 

Sudah tentunya kelebihan ini tidak diciptakan untuk manusia kecualilah mempunyai maksud dan tujuan tertentu oleh Yang Maha Pencipta. Oleh itu juga manusia selain mempunyai kelebihan mereka juga dipertanggungjawabkan dengan kelebihan itu. Itulah kesimpulan yang dibuat oleh ketiga-tiga makhluk bulat ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...