Melihat perkembangan isu Rohingya dari kejauhan. Walaupun kita tidak pergi mengikut NGO atau flotilla ke Rakhine, Myanmar tetapi kita perhatikan perkembangannya dari jauh melalui dada media massa. Sejak negara Malaysia dikatakan mencari pasal dengan Myanmar dengan isu Rohingya ini dan berlakulah pertengkaran di media massa di antara kedua negara sudah tentu kita tertanya-tanya apakah sesudah itu. Adakah langkah yang diambil oleh Malaysia adalah tepat?
YAB PM sebelum mencari pasal itu telah berkata "apa nak jadi jadilah". Begitulah tekad dan keputusan pemimpin Malaysia ibarat kata pepatah Melayu "membujur lalu melintang patah". Sebaik sahaja mengeluarkan kenyataan keras ketika menyertai perhimpunan bantahan terhadap penindasan Rohingya itu, Malaysia telah mendapat bantahan daripada Myanmar dan menuduh Malaysia telah melanggar prinsip-prinsip Asean yang secara dasarnya tidak mencampuri hal-ehwal negara Asean yang lain.
Tetapi Malaysia tetap mengambil keputusan itu. Ini disebabkan dasar tidak campur tangan itu bukanlah sesuatu yang tidak ada batasnya. Pertamanya dasar itu bukanlah menyebabkan sesebuah negara Asean itu boleh melanggar hak asasi manusia seperti melakukan genoside atau pembunuhan etnik, memperkosa, membakar harta benda dan lain-lain pencabulan hak asasi manusia yang tersangat parah. Keduanya, pencabulan hak asasi manusia tersebut telah pun secara langsung memberi kesan kepada Malaysia yang mana dianggarkan lebih 50,000 orang Rohingya telah melarikan diri ke Malaysia dan menyebabkan negara menanggung kos menjaga pelarian yang mencecah jutaan ringgit sehari.