KUALA LUMPUR: Polis bertindak betul dengan menahan
anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang pada Ahad, kata
Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed.
Menurutnya,
Malaysia bukan sebuah negara yang membenarkan kerajaan negeri mengambil
alih peranan polis, atau memberi layanan istimewa kepada mana-mana badan
beruniform yang berlagak seperti polis.
Dr Mahathir berkata
pasukan sukarela itu dilihat mencabar polis dengan mengambil bahagian
dalam sambutan Merdeka di Pulau Pinang walaupun telah diberi amaran oleh
pihak berkuasa.
Katanya, kumpulan itu seolah sengaja
menggunakan hari istimewa Merdeka untuk melanggar undang-undang dan
memburukkan imej polis.
“Saya rasa mereka patut pergi ke negara
lain di mana polis di sana lebih ofensif di mana mereka tembak dan
bunuh orang. Baru mereka tahu betapa amannya Malaysia,” katanya selepas
menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di
antara Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Sentoria Langkawi Sdn Bhd
semalam.
Dr Mahathir menegaskan bahawa seseorang itu tidak
boleh berlagak selaku polis hanya dengan memakai uniform yang dibekalkan
organisasi bukan kerajaan.
“Mereka yang rasa ada kuasa di
negeri itu tidak sepatutnya mengandaikan bahawa mereka ada kuasa untuk
mengambil alih tugas polis,” tambahnya.
Pada Ahad, polis telah
menahan 154 anggota PPS selepas mereka mengambil bahagian dalam
perarakan Hari Merdeka di Padang Kota, Pulau Pinang.
Ketua
Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata anggota PPS
itu, termasuk tujuh wanita, ditahan pada jam 10.15 pagi untuk membantu
siasatan kerana melanggar Seksyen 41 Akta Pertubuhan 1966.
Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin semalam dilaporkan turut bersetuju
dengan tindakan polis, selain melabel kumpulan itu sebagai “berbahaya.”
Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment