KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Kedudukan Malaysia dalam Laporan Daya
Saing Global 2014-2015 melonjak ke tangga ke-20 daripada kalangan 144
negara, mendahului ekonomi maju seperti Austria, Australia, Perancis dan
Korea Selatan.
Tahun lepas, negara berada di kedudukan ke-24 daripada kalangan 148 negara.
Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Mohd
Razali Hussain berkata, meskipun ini merupakan kedudukan terbaik
Malaysia setakat ini, kerajaan akan terus mengukuhkan usaha dalam
tunggak seperti persekitaran ekonomi makro, kecekapan pasaran buruh dan
kesediaan teknologi.
"Persekitaran ekonomi makro mencatatkan penurunan enam tangga ke
kedudukan ke-44 daripada ke-38 tahun lepas. Perhatian utama kita ialah
pada keseimbangan bajet kerajaan dan hutang kerajaan.
"Mengenai kesediaan teknologi, Malaysia turun enam tangga ke kedudukan
ke-60 daripada ke-51 sebelum ini," katanya pada sidang akhbar selepas
mengumumkan kedudukan daya saing negara semalam.
Mohd Razali berkata MPC ingin mencadangkan penubuhan pasukan tugas khas bagi menambah baik kesediaan teknologi di negara ini.
Antara inisiatif yang perlu diperkukuh termasuklah langganan jalur lebar
mudah alih bagi setiap 100 penduduk, lebar jalur Internet antarabangsa
dan langganan Internet jalur lebar tetap bagi setiap 100 penduduk.
Mengenai tunggak kecekapan pasaran buruh, yang meningkat ke tangga
ke-19 daripada ke-25 tahun lepas, Mohd Razali berkata kerajaan akan
terus menggiatkan inisiatif bagi menggalakkan penyertaan wanita dalam
tenaga kerja buruh.
Pada 2013, daripada keseluruhan penduduk wanita di negara ini, 52.4 peratus kini bekerja.
"Kami akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai kementerian dan
agensi untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam tiga tunggak, serta,
mengadakan lebih banyak perbincangan dengan komuniti perniagaan,"
katanya.
Sementara itu, Mohd Razali juga mencadangkan untuk mengadakan laporan
daya saing peringkat negara, dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan
datang.
"Daripada rangking, ia akan mendorong kita melakukan yang lebih baik lagi dalam bidang yang kita lemah," katanya.
Laporan Daya Saing Global, yang berasaskan kepada Indeks Daya Saing Global, diperkenalkan oleh Forum Ekonomi Dunia pada 2004.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment